Touch ’n Go Anjur Program CSR dan Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya SempenaRamadan

Feb 27, 2026

PUCHONG, 27 Februari 2026 – Touch ’n Go Sdn Bhd (“Touch ’n Go”) telah menganjurkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bertemakan “Perjalanan Bersama Keselamatan Terjaga – Pengagihan Bubur Lambuk dan Kempen Keselamatan Jalan Raya” di Plaza Tol South Klang Valley Expressway (SKVE) Saujana Putra, dengan kerjasama Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM).

Inisiatif bersempena bulan Ramadan ini bertujuan menyantuni pengguna lebuh raya di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan keselamatan jalan raya menjelang musim perayaan yang menyaksikan peningkatan aliran trafik.

Bubur lambuk telah diagihkan kepada pengguna lebuh raya sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan terhadap masyarakat sepanjang bulan Ramadan. Selain itu, penunggang motosikal turut menerima jaket keselamatan bersama beg cenderamata yang mengandungi bubur lambuk, kurma dan air mineral sebagai sebahagian daripada kempen kesedaran keselamatan jalan raya.

Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Pengurusan) Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Zainal Alhakab Seman; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Lembaga Lebuhraya Malaysia, Ir. Ts. Dr. Nadzrol Fadzilah Ahmad; Timbalan Presiden PSKLM, Encik Azmee Nin; Ketua Pegawai Eksekutif Touch ’n Go Sdn Bhd, Encik Praba Sangarajoo; serta wakil South Klang Valley Expressway selaku tuan rumah, syarikat-syarikat konsesi lebuh raya dan rakan strategik industri.

YBhg. Dato’ Zainal Alhakab Seman berkata inisiatif seumpana ini mencerminkan kerjasama erat antara kerajaan dan rakan industri dalam memperkukuh keselamatan pengguna lebuh raya.

“Keselamatan pengguna lebuh raya merupakan tanggungjawab bersama. Usaha bersepadu seperti ini membantu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemanduan berhemah dan pematuhan peraturan jalan raya, khususnya menjelang musim perayaan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Touch ’n Go Sdn Bhd, Encik Praba Sangarajoo berkata inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menyokong keselamatan pengguna lebuh raya serta memperkukuh budaya pemanduan selamat melalui kerjasama erat bersama agensi kerajaan dan rakan industri.

“Melalui kerjasama strategik seperti ini, Touch ’n Go berusaha memastikan ekosistem mobiliti yang lebih selamat dan lancar untuk semua pengguna lebuh raya, khususnya ketika musim perayaan dan peningkatan perjalanan pulang ke kampung halaman.”

Program ini mencerminkan kerjasama strategik antara Touch ’n Go Sdn Bhd dan Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM), dengan sokongan Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta rakan pengendali lebuh raya dalam meningkatkan keselamatan pengguna lebuh raya dan memperkukuh budaya pemanduan selamat. Selain menyampaikan mesej keselamatan, inisiatif ini turut menyemarakkan semangat kebersamaan dan kesukarelawanan sepanjang bulan Ramadan melalui amalan berkongsi rezeki dengan masyarakat.

Touch ’n Go kekal komited menerajui inisiatif yang menyokong mobiliti yang selamat, cekap dan mesra pengguna demi kesejahteraan pengguna lebuh raya di seluruh negara.