Perlindungan 16 juta pelanggan

Jul 27, 2021
Perlindungan 16 juta pelanggan

AIA Malaysia (AIA) menjalin kerjasama strategik jangka panjang dengan TNG Digital Sdn Bhd (TNG Digital) bagi menyediakan penyelesaian insurans digital inovatif dan diperibadikan.

Ia dalam memenuhi keperluan perlindungan lebih 16 juta pelanggan Touch 'n Go eWallet di seluruh negara, sekali gus memperkukuhkan lagi komitmen syarikat insurans itu dalam inovasi digital dan pasaran Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif AIA Bhd, Ben Ng berkata, kerjasama ini menandakan kesinambungan transformasi digital AIA dan cita-cita syarikat untuk menjangkau segmen pelanggan baharu menggunakan platform dalam talian.  

"Lebih penting lagi, pengumuman ini turut memperkukuhkan komitmen kami dalam memperkenalkan produk baharu dan inovatif untuk dipasarkan dalam dunia serba digital.  

"Keperluan insurans kian meningkat ketika berlaku pandemik. Kita perlu sentiasa berusaha memperluas perkhidmatan di samping memberikan pilihan lebih baik kepada pengguna di Malaysia.

"Ini membolehkan mereka mendapatkan perlindungan tepat, bersesuaian peringkat kehidupan mereka, melalui cara dimahukan dan pada masa sesuai," katanya dalam kenyataan.

Kerjasama dengan rakan digital terbaik di pasaran memberi peluang kepada AIA menawarkan pelanggan Touch 'n Go eWallet penyelesaian insurans yang boleh dibeli secara langsung dalam talian.

Ia melalui saluran pengedaran AIA yang sedia ada termasuk pasukan agensinya seramai 19,000 orang yang berkelayakan memberi nasihat dan panduan mengenai perlindungan insurans dan takaful yang lebih komprehensif.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Touch 'n Go, Effendy Shahul Hamid berkata, pihaknya berharap dapat bekerjasama dengan AIA untuk mengukuhkan lagi segmen terbabit serta memberikan produk dan perkhidmatan lebih baik dan relevan kepada pengguna Touch 'n Go eWallet.

"AIA adalah syarikat yang membina nilai proposisi pelanggan dengan cara sama seperti kami dengan menggunakan teknologi dan inovasi secara efektif untuk memberikan nilai lebih tinggi serta tawaran produk yang direka khusus buat pengguna.

"Insurans adalah tonggak utama buat kami untuk terus berkembang di dalam perkhidmatan kewangan," katanya.

Related clipping