News
Press Release
Speech
Facts & Figures
Replies to Media Queries
 
Home > Media Centre > Speech
Speech
 
MAJLIS PELANCARAN TOUCH ‘N GO HUB PADA 22 OGOS 2006 DI RUANG LEGAR, MENARA FABER KUALA LUMPUR.

TEKS UCAPAN
YBHG DATUK YAHYA YAACOB
PENGERUSI Touch 'n Go Sdn Bhd (formerly known as Rangkaian Segar Sdn Bhd)

Yang Berhormat Dato’ Seri S. Samy Vellu
Menteri Kerja Raya Malaysia

Yang Berbahagia Dato Hj Mohd Noor bin Yaacob
Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia

Yang Berusaha En Mohd Hussein Ab Hamid
Pengarah Eksekutif Touch 'n Go Sdn Bhd (formerly known as Rangkaian Segar Sdn Bhd)

Yang Berusaha Pn Basariah Abdul Latiff
Ketua Pegawai Operasi Touch 'n Go Sdn Bhd (formerly known as Rangkaian Segar Sdn Bhd)

Wakil-wakil media, Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekelian

Assalamualaikum warrahmtullahiwabarakatuh dan salam sejahtera.

Saya amat berbesar hati di atas kehadiran anda semua, terutamanya kepada Yang Berhormat Dato’ Seri S. Samy Vellu, Menteri Kerja Raya Malaysia, kerana sudi meluangkan masa di dalam kesibukan menjalankan tugas harian untuk memeriahkan majlis kami pada hari ini

Para hadirin sekelian, Pusat Khidmat Pelanggan Touch n Go yang wujud di Menara Faber ini semenjak tahun 2000 kini akan mengalami perubahan.

Majlis kita pada pagi ini adalah untuk menyambut perubahan ini kerana Pusat Khidmat Pelanggan ini akan menyambut tetamu dengan wajah, nama dan ketrampilan baru.

Lebih daripada itu, ia juga akan terus disertai oleh perkhidmatan memuaskan dan mesra pelanggan. Inilah yang kami di TNGSB hendak kenalkan pada pagi ini iaitu Pusat Khidmat Pelanggan yang dikenali dengan nama Touch ‘n Go Hub.

Touch ‘n Go Hub adalah satu bukti nyata akan komitmen TNGSB kepada semua pelanggan kami, selaras dengan ekspektasi pelanggan yang memerlukan perkhidmatan bermutu secara berterusan.

Saya yakin Touch n Go Hub akan dapat memenuhi hasrat pelanggan untuk mendapat khidmat dan layanan yang memuaskan. 

Selain itu, kami juga ingin meningkatkan imej Touch ‘n Go sebagai satu-satunya produk yang betul-betul mesra pelanggan (customer-friendly) dan peka akan kehendak mereka.

Yang penting sekali, sebarang urusan tambahnilai, jualan atau sebarang urusniaga berkaitan akan dilayan dengan lebih efisien. Jika sebelum ini purata waktu menunggu setiap pelanggan ialah 15 minit, kini dengan sistem yang baru, purata waktu menunggu ini akan dikurangkan kepada 4 minit, iaitu perbezaan waktu lebih daripada 70 peratus.

Touch ‘n Go Hub ini akan dikendalikan oleh pegawai-pegawai khidmat pelanggan yang terlatih. Mereka kini telah diberi penampilan baru yang lebih profesional agar mereka sendiri merasa bangga sebagai pegawai di barisan hadapan TNGSB dan sebagai the friendly faces of TNGSB.

Selain itu, Touch’n Go Hub juga akan dilengkapkan dengan sistem pendaftaran elektronik, di mana pelanggan boleh mendaftarkan butir-butir diri mereka terus melalui laman web kami.

Untuk pengetahuan hadirin, kami juga telah mengemaskini dan memberi nafas baru kepada laman web kami di www.touchngo.com.my . Ianya kini lebih interaktif di mana para pelanggan kini dapat berhubung terus dengan pengurusan kami dalam apa saja urusan berkaitan. Ini sejajar dengan imej baru yang lebih mengutamakan konsep mesra pelanggan.

Tuan-tuan & Puan-puan,

Touch ‘n Go Hub ini merupakan langkah pertama kami untuk menyelaraskan penjenamaan Touch ‘n Go di persepsi umum. Kami berharap Touch ‘n Go Hub yang pertama di ibu pejabat TNGSB akan diikuti dengan Touch ‘n Go Hub yang lain. Malahan pada masa ini kami merancang  untuk membuka sebuah lagi Touch ‘n Go Hub di sebuah kawasan rehat dan rawat di lebuh raya pada masa terdekat ini.

Selain dari itu, TNGSB juga mensasar untuk membuka sebuah lagi pusat servis utama, sebagai flagship kami, di sebuah pusat membeli belah terkenal di Lembah Klang pada tahun ini.

Para hadirin yang dihormati sekelian,

Pada bulan April yang lalu, kami telah buat pertama kalinya memperkenalkan Kaunter Pandu Lalu Touch ‘n Go (Drive Thru Kiosk) di Menara Faber ini. Kaunter Pandu Lalu ini hanya memfokus kepada transaksi jualan dan tambahnilai sahaja. Alhamdulillah respon daripada pelanggan amat menggalakkan.

Purata transaksi tambahnilai sehari telah melebihi 200 transaksi dan angka ini merupakan tambahan kepada pelanggan yang mengunjungi Pusat Khidmat & Jualan di Bangunan Faber ini.

Berdasarkan sambutan yang baik ini, pihak TNGSB bercadang untuk membuka dua lagi Kaunter Pandu Lalu sebegini pada bulan Oktober ini Untuk ini kami akan memberi perhatian kepada kawasan yang mempunyai ramai pengguna dan akan ditempatkan di stesen minyak atau kompleks membeli-belah. Ini akan merupakan usaha berterusan kami untuk memudahkan urusan tambahnilai para pelanggan.

Kami akan terus memperluaskan jaringan jualan dan tambahnilai kami ke lebih 3,000 cawangan (daripada 1300 sekarang) di seluruh negara sebelum hujung tahun ini.

Para hadirin sekelian,

Kami berharap Touch ‘n Go Hub akan menjadi pusat kecemerlangan dalam semua aspek perkhidmatan pelanggan, selaras dengan nilai-nilai syarikat yang mengutamakan konsep mesra pelanggan, memberikan mutu perkhidmatan berkualiti tinggi. Ia juga akan menjadi kayu pengukur bagi pusat perkhidmatan yang akan dibuka di masa hadapan.

Sekali lagi, sebelum saya mengakhiri ucapan aluan ini, saya ingin merakamkan ribuan terima kasih sekali lagi kepada Yang Berhormat Dato’ Seri S. Samy Vellu atas kehadiran beliau, dan seterusnya merasmikan Touch ‘n Go Hub TNGSB. Saya juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada rakan niaga dan para hadirin yang lain, serta pihak media yang sentiasa menyokong aktiviti Touch 'n Go Sdn Bhd.

Sekian.  Terima kasih.  Warrahmatullahiwabarakatuh.

 
 

   
 
•  Advertising Opportunity   •  Business Opportunity   •  Corporate Sales  •  Job Opportunity  •
•  eStatement   •  Staff Mail   • 
Careline Centre