| “BATALKAN CAJ TAMBAH NILAI TOUCH ‘N GO – Utusan Malaysia 21/11/2006
Touch 'n Go Sdn Bhd (formerly known as Rangkaian Segar Sdn Bhd) pengedar kad Touch ‘n Go ingin memaklumkan bahawa kami telahpun memberhentikan bayaran RM15 deposit ke atas setiap pembelian kad baru semenjak 15 Oktober 2005. Kini kad Touch ‘n Go boleh dibeli terus dengan harga RM10.
Kemudahan Touch ‘n Go boleh digunakan di semua lebuh raya di Malaysia, sistem LRT dan KTM Komuter. Syarikat konsesi perkhidmatan tersebut, seperti PLUS, LDP dsb merupakan penyedia perkhidmatan (service provider). Untuk terus meningkatkan efisiensi perkhidmatan mereka, syarikat penyedia perkhidmatan tersebut juga menyediakan khidmat tambah nilai kad Touch ‘n Go secara percuma, di mana pengguna kad Touch ‘n Go yang menambah nilai di pusat khidmat pelanggan mereka tidak akan dikenakan sebarang caj perkhidmatan tambah nilai.
Sebaliknya, stesen Petronas dan agen jualan tambah nilai yang lain merupakan agen bebas, dan caj 50 sen yang dikenakan adalah untuk menampung kos operasi mereka. Selain daripada itu, caj 50 sen ini turut dikenakan di kemudahan tambah nilai lain yang disediakan oleh bank, seperti BCB dan Maybank, dan caj RM2 pula untuk tambah nilai melalui kad kredit.
Perlantikan agen-agen bebas ini merupakan antara langkah kami untuk memperluaskan lagi rangkaian tambah nilai untuk kemudahan pelanggan-pelanggan Touch ‘n Go.
Di samping itu, kami juga sentiasa merangka pelan-pelan untuk memperluaskan aplikasi dan penggunaan Touch ‘n Go agar pelanggan kami dapat terus menikmati kemudahan e-purse ini, sejajar dengan seruan Kerajaan ke arah masyarakat tanpa tunai.
Kami juga akan memperkenalkan satu program pengguna setia (loyalty) sebagai tanda penghargaan kami kepada pengguna Touch ‘n Go pada masa yang terdekat ini.
Terima kasih.
BASARIAH ABDUL LATIFF
Ketua Pegawai Operasi |